Pengganggu Rumahtangga Kawan kepada Iblis Dasim

Hari ni, kita boleh lihat dimana terlalu ramai, baik lelaki atau perempuan yang suka mengganggu keharmonian rumahtangga pasangan yang telah berkahwin. Kadang-kadang, sehingga berlakunya penceraian akibat angkara mereka.  Kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mungkin daripada kalangan ahli keluarga sendiri, membabitkan campur tangan ibu bapa, mentua, adik beradik atau orang luar adalah sebahagian faktor penyebab keruntuhan rumah tangga.


Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam satu kenyataan mengakui kehadiran orang ketiga sering kali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang. Walaupun orang ketiga bukan punca utama perceraian, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat oleh LPPKN pada 2004, menunjukkan 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan. Perbuatan memecah-belah atau menjadi dalang punca berlakunya perceraian sebenarnya adalah perbuatan dosa dan maksiat serta boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah. 

Perbuatan memutuskan silaturahim sesama Muslim adalah amalan masyarakat Arab jahiliah. Apabila Islam muncul, Baginda Nabi Muhammad SAW membawa perspektif baru, menyeru manusia supaya menjaga silaturahim. Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang biak lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An-Nisa', ayat 1) Allah menyeru seluruh umat manusia tanpa memandang agama, suku, ras, warna kulit, bangsa atau keturunan, supaya bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Allah menciptakan manusia dari ayahanda dan bonda yang satu, iaitu Nabi Adam dan Hawa, maka Allah menyeru manusia untuk menyambung silaturahim serta dilarang memutuskannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu, dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya." - (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Tindakan memutuskan silaturahim antara suami isteri diperuntukkan sebagai suatu kesalahan jenayah. Walau apa pun, hukum syarak sudah jelas dan undang-undang termaktub. Orang yang menjadi dalang permusuhan dalam rumah tangga ini sebenarnya adalah rakan kepada iblis yang digelar Iblis Dasim, tugasnya mempengaruhi, menggoda, mendorong suami isteri supaya melakukan penyelewengan, akhirnya berlaku perceraian. Apabila berlaku perceraian, maka akan mudah bagi iblis Dasim mengajak suami isteri tadi melakukan kemaksiatan, seperti zina dan khalwat. Iblis Dasim sangat benci kepada rumah tangga yang rukun dan bahagia.

Sesungguhnya al-Quran sudah memberi amaran kepada kaum Muslimin supaya jangan mengikuti langkah Iblis menyesatkan melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." - (Surah al-An'am, ayat 142)



Oleh: Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia




No comments:

♥ COPYRIGHT @ RIZQIN 2015. By Nabila ♥