Apa itu Kasturi?

Kasturi merupakan wangian yang terbaik di dunia,kehebatan haruman kasturi telah diperkatakan sejak zaman berzaman. Kita biasa dengar apa sahaja yang berbau wangi akan dikatakan seharum kasturi, ia mudah ditemui pada bait-baik puisi, kisah-kisah romantis, lagu-lagu, epik-epik cinta dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah kasturi.” - Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy

Kasturi adalah nama asal yang diberikan kepada sejenis bahan yang mempunyai bauan yang harum yang boleh didapati daripada kerandut kijang jantan. Mengikut rujukan pengarang Kitab Iq Al-Alqaa dan juga Kitab Jaami Karaamat Al-Aliyaa, ketika Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi, baginda telah diziarahi oleh seekor kijang jantan, lalu Nabi Adam A.S telah menghadiahkan kijang tersebut secebis daun dari syurga, dengan izin Allah SWT menjadikan kijang itu berbau harum, seharum kasturi.

Pada hari ini, keturunan kijang tersebut telah menghasilkan wangian kasturi yang tumbuh di bahagian bawah perut kijang jantan dipanggil bintil kasturi. Bintil kasturi juga kerap ditemui di bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala. Bulu pada bintik kasturi dikatakan terus tumbuh biarpun setelah terasing dari kijangnya.




Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras.

Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian beralkohol. Sejak ratusan tahun lalu, ia digunakan dalam pembuatan wangi-wangian. Kasturi juga bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai menjadikan bau haruman lebih tahan lama.

Pendek kata, ia merupakan produk haiwan yang paling berharga dan yang paling popular adalah kasturi kijang jantan yang hidup di pergunungan Himalaya.


1 comment:

merosnordn.blogspot.com said...

Baru tahu pasal bintil kasturi pada kijang ni. sebelum ni tahu pasal haruman kasturi je

♥ COPYRIGHT @ RIZQIN 2015. By Nabila ♥